nuffnang ad

Showing posts with label Buah. Show all posts
Showing posts with label Buah. Show all posts

Wednesday, November 27, 2013

Machang / Bacang ( Mangifera foetida )



Mangifera foetida ialah nama saintifik bagi pokok machang atau bacang atau embacang . Pokok machang termasuk dalam Famili Anacardiaceae.

Buah machang yang masak berbau harum manis. Selain daripada 'enak dimakan begitu saja' , buah machang juga boleh dibuat sambal belacan buah machang atau kerabu buah machang. Orang Machang , Kelantan pastinya kenal buah ni..


Sunday, December 11, 2011

Nenas ( Ananas comosus )

Nenas atau nanas ( pineapple ) merupakan ahli Famili Bromeliaceae yang berasal dari Amerika Selatan. Nenas adalah di antara pokok buah-buahan yang paling senang untuk ditanam. Jika anda membeli sebiji nenas yang sedap dan manis rasanya, ambil 'jambul'nya dan tanamlah di halaman rumah. Jika jambul nenas tu dah menghasilkan buah nenas nanti, jangan lupa untuk menanam 'jambul'nya pula.
Bunga nenas
Macam-macam cara nak makan nenas ni. Nenas muda boleh dicecah cuka yang ditambah garam, gula, cili padi dan belacan atau dimasak gulai kuning ikan kering. Nenas yang dah masak boleh dimakan begitu saja, ditambah dalam ulaman laksa Penang, dibuat acar/jelatah, dibuat rojak buah, dibuat paceri nenas, jus nenas, jem nenas dan tart nenas. Ada juga nenas yang dikeringkan, dijadikan kerepek yang masam-masam manis rasanya.

Mangga Telur ( Mangifera sp. )

Mangga ( Mangifera ) adalah dari famili Anacardiaceae. Mangga telur ialah antara spesies mangga dengan buah bersaiz kecil. Saya memilih pokok mangga telur sebagai tanaman buah-buahan di halaman rumah kerana kepelbagaian cara nak memakannya. Semasa buahnya masih muda ( putik ) , ianya boleh dibuat jeruk , dicecah kicap yang ditambah garam, gula dan cili padi/lada burung , dibuat rojak buah , dibuat sambal ( orang Kelantan sebut sambal pauh ) atau kerabu ikan bilis pauh. Meleleh air liurr..... Kalau buahnya dah masak, ~ boleh dimakan begitu saja~ atau boleh dibuat jus mangga.
Bunga mangga

Friday, April 16, 2010

Limau ( Citrus spp. )

Limau Kasturi ( Citrus microcarpa )
  • buah limau kasturi bersaiz kecil ( sebesar guli ) , pokok sederhana tinggi
  • buah biasanya digunakan untuk menghasilkan jus, dihiris dan dicampurkan dalam sambal atau dibuat acar dan jeruk.

Saturday, March 13, 2010

Terung Pipit ( Solanum tarvum )

Terung pipit juga dikenali sebagai terung manggul, terung rembang atau terung timbang. Nama biasa yang lain ialah Turkey berry, Devil's fig atau Pea Eggplant. Terung pipit dimakan sebagai ulam atau dimasak sebagai sayuran dalam masakan tempatan.


Bunga Terung Pipit


Buah Terung Pipit

Tuesday, February 23, 2010

Jambu Madu



Lima tahun lepas saya membeli anak pokok jambu madu dari sebuah nurseri yang berdekatan. Dua tahun lepas pokok jambu ni mula berbunga dan berbuah. Seronoknya.. Tapi, buah yang terhasil kecil-kecil dan belum sempat masak, buahnya mula jatuh berguguran. Macamana ni.. Selalu geram tengok buah jambu yang dijual di gerai-gerai buah yang merah,besar dan sedap rasanya.

Akhirnya saya mendapat satu cara untuk mendapat hasil buah jambu yang lebih baik. Selepas bunganya berkembang dan apabila putik buah sudah terbentuk , gunakan plastik ( yang biasa digunakan semasa membeli-belah ) bersaiz sederhana untuk membungkus putik buah tadi. Ikat tangkai plastik pada dahan berhampiran tangkai buah. Guntingkan sedikit di bahagian bawah plastik untuk mengelakkan air hujan yang masuk ke dalam plastik daripada bertakung.

Kaedah ini dapat menghasilkan buah jambu yang lebih besar saiznya, isinya lebih banyak kandungan air ( juicy ) ( bungkusan plastik tadi dapat mengurangkan kehilangan air dari buah) , rangup dan dapat mengelakkan dari serangan serangga perosak seperti lalat buah. Cubalah..! Jika anda ada cara-cara lain untuk mendapat hasil buah-buahan yang lebih baik, sila berkongsi dengan pembaca yang lain.

Thursday, December 03, 2009

Durian ( The King of Fruits )

Durian ( Durio zibethinus ) dari Famili Malvaceae dipercayai berasal dari Brunei , Malaysia dan Indonesia. Durian juga boleh didapati di Thailand, yang merupakan negara paling banyak menghasilkan durian. Buah durian mempunyai kulit yang tebal, keras dan berduri. Buah durian berwarna hijau dan bertukar warna kepada perang kekuningan apabila masak. Isinya berwarna dari kekuningan hingga ke warna merah, bagi sesetengah spesies. Rasa isinya lemak manis dan mempunyai bau yang unik. Selain dari dimakan seperti buah-buahan yang lain, durian juga boleh dimakan bersama pulut dan santan ( Pulut durian ), sebagai sambal durian ( tempoyak ) , juga boleh dibuat dodol ( lempuk durian ) , pengat durian, wajik durian atau ditambah dalam budu dan dimakan bersama ulam-ulaman. Tempoyak iaitu isi durian yang ditambah garam dan diperam ( fermented ), boleh dimakan sebagai sambal atau ditambah dalam masakan. Antara masakan Melayu terkenal yang ditambah tempoyak ialah Gulai Tempoyak Ikan Patin, Ikan Lampan Masak Tempoyak dan Pucuk Ubi Kayu Masak Lemak Tempoyak. Sedapnya....

Saturday, October 17, 2009

Buah Salak ( Snake Fruit )


Pokok salak ( Salacca zalacca ) tergolong dalam famili Palmae , boleh didapati di Malaysia dan Indonesia. Pokoknya mempunyai pelepah yang berduri dan buahnya mempunyai kulit yang bersisik seperti ular yang berwarna perang. Isi buahnya berwarna putih-kuning dengan 2 atau 3 ulas bagi setiap buah. Isi buahnya pejal dan menjadi semakin lembut apabila terlalu masak.


Pokok salak mempunyai bunga jantan dan bunga betina pada pokok yang berasingan. Pokok bunga jantan dan pokok bunga betina hanya dapat dibezakan apabila ia mengeluarkan jambak bunga. Pendebungaan pokok salak dibantu oleh serangga dan juga manusia. Jambak bunga jantan dan jambak bunga betina juga tidak dihasilkan pada waktu yang sama. Debunga bunga jantan yang berwarna kuning boleh dikumpulkan dan disimpan dalam botol legap di dalam peti sejuk. Apabila pokok betina mengeluarkan bunga, debunga yang disimpan tadi bolehlah disapukan pada bunga betina dengan menggunakan berus lukisan. Debunga juga boleh diletakkan di atas gulungan kertas dan dihembuskan ke arah jambak bunga betina. Pendebungaan yang dibantu ini boleh meningkatkan penghasilan buah salak.

Bunga salak betina

Bunga salak jantan

Terdapat beberapa spesies salak yang berbeza, yang ditanam atau tumbuh secara semulajadi di hutan. Spesies yang berbeza mempunyai bentuk buah, rasa buah, tempoh matang dan susunan duri pada pelepah yang berbeza di antara satu sama lain.

Di sini ditunjukkan gambar foto sejenis pokok salak.

Kelihatan pada satu tangkai terdapat tiga jambak buah dengan 10-12 buah bagi satu jambak. Buahnya berbentuk bujur dan runcing di kedua-dua hujungnya. Rasa isi buahnya agak masam.



Gambar di atas pula menunjukkan anak pokok baru yang keluar pada tangkai bunga yang tidak menghasilkan buah.