nuffnang ad

Thursday, December 03, 2009

Durian ( The King of Fruits )

Durian ( Durio zibethinus ) dari Famili Malvaceae dipercayai berasal dari Brunei , Malaysia dan Indonesia. Durian juga boleh didapati di Thailand, yang merupakan negara paling banyak menghasilkan durian. Buah durian mempunyai kulit yang tebal, keras dan berduri. Buah durian berwarna hijau dan bertukar warna kepada perang kekuningan apabila masak. Isinya berwarna dari kekuningan hingga ke warna merah, bagi sesetengah spesies. Rasa isinya lemak manis dan mempunyai bau yang unik. Selain dari dimakan seperti buah-buahan yang lain, durian juga boleh dimakan bersama pulut dan santan ( Pulut durian ), sebagai sambal durian ( tempoyak ) , juga boleh dibuat dodol ( lempuk durian ) , pengat durian, wajik durian atau ditambah dalam budu dan dimakan bersama ulam-ulaman. Tempoyak iaitu isi durian yang ditambah garam dan diperam ( fermented ), boleh dimakan sebagai sambal atau ditambah dalam masakan. Antara masakan Melayu terkenal yang ditambah tempoyak ialah Gulai Tempoyak Ikan Patin, Ikan Lampan Masak Tempoyak dan Pucuk Ubi Kayu Masak Lemak Tempoyak. Sedapnya....

Friday, November 06, 2009

Bunga Kantan ( Torch Ginger Flower )

Bunga kantan ( Etlingera elatior ) dari famili Zingiberaceae ialah di antara bunga yang popular dalam resepi masakan Melayu. Bunga kantan digunakan dalam masakan laksa asam , asam pedas dan sebagai ulam dalam nasi kerabu dan nasi ulam. Selain daripada menjadi ramuan utama masakan bunga kantan juga dijadikan bunga gubahan yang semakin mendapat tempat di majlis-majlis dan di hotel-hotel.

Saturday, October 17, 2009

Buah Salak ( Snake Fruit )


Pokok salak ( Salacca zalacca ) tergolong dalam famili Palmae , boleh didapati di Malaysia dan Indonesia. Pokoknya mempunyai pelepah yang berduri dan buahnya mempunyai kulit yang bersisik seperti ular yang berwarna perang. Isi buahnya berwarna putih-kuning dengan 2 atau 3 ulas bagi setiap buah. Isi buahnya pejal dan menjadi semakin lembut apabila terlalu masak.


Pokok salak mempunyai bunga jantan dan bunga betina pada pokok yang berasingan. Pokok bunga jantan dan pokok bunga betina hanya dapat dibezakan apabila ia mengeluarkan jambak bunga. Pendebungaan pokok salak dibantu oleh serangga dan juga manusia. Jambak bunga jantan dan jambak bunga betina juga tidak dihasilkan pada waktu yang sama. Debunga bunga jantan yang berwarna kuning boleh dikumpulkan dan disimpan dalam botol legap di dalam peti sejuk. Apabila pokok betina mengeluarkan bunga, debunga yang disimpan tadi bolehlah disapukan pada bunga betina dengan menggunakan berus lukisan. Debunga juga boleh diletakkan di atas gulungan kertas dan dihembuskan ke arah jambak bunga betina. Pendebungaan yang dibantu ini boleh meningkatkan penghasilan buah salak.

Bunga salak betina

Bunga salak jantan

Terdapat beberapa spesies salak yang berbeza, yang ditanam atau tumbuh secara semulajadi di hutan. Spesies yang berbeza mempunyai bentuk buah, rasa buah, tempoh matang dan susunan duri pada pelepah yang berbeza di antara satu sama lain.

Di sini ditunjukkan gambar foto sejenis pokok salak.

Kelihatan pada satu tangkai terdapat tiga jambak buah dengan 10-12 buah bagi satu jambak. Buahnya berbentuk bujur dan runcing di kedua-dua hujungnya. Rasa isi buahnya agak masam.



Gambar di atas pula menunjukkan anak pokok baru yang keluar pada tangkai bunga yang tidak menghasilkan buah.


Thursday, September 24, 2009

Pokok bunga berbau wangi ( scented flowers )


Kenanga ( Canangium odorata )
  • juga dikenali sebagai ylang-ylang atau ' perfume tree '
  • bunga berbau wangi, boleh mengeluarkan minyak pati untuk ramuan minyak wangi
  • bunga digunakan dalam campuran bunga rampai
  • boleh ditanam menggunakan biji atau dengan cara tut


Bunga Bakong ( Crinum asiaticum L. )
  • juga dikenali sebagai Bunga Tembaga Suasa , Bawang Tembaga dan Bakoh dari famili Liliaceae
  • jambak bunga berwarna putih dan berbau wangi di waktu malam
  • boleh ditanam dengan menggunakan biji ataupun dengan memisahkan bahagian bebawangnya daripada pokok induk

Susun Kelapa ( Ervatamia coronaria )
  • bunga berbentuk seperti bunga ros
  • dipercayai berasal dari negeri China dan Jepun
  • boleh ditanam dengan menggunakan biji dan keratan batang
Ros / Mawar ( Rosa sp. )
  • bunga digunakan sebagai campuran bunga rampai dan dalam ramuan 'potpuri'
  • bunga mengandungi minyak pati untuk ramuan minyak wangi
  • boleh ditanam dengan cara tut, cantuman tunas atau keratan dahan sederhana keras


Bunga Cina ( Gardenia jasminoides / Gardenia florida )
  • berasal dari China dan Jepun
  • juga dikenali sebagai bunga susu dan Cape Jasmine
  • bunga putih, berbau harum digunakan dalam ramuan minyak wangi
  • bunga boleh digunakan sebagai bunga rampai
  • boleh ditanam dengan menggunakan keratan dahan atau tut



Kemuning ( Murraya paniculata )
  • berasal dari India
  • juga dikenali sebagai Kemuning lada, Mock Orange, Satinwood, Cosmetic Bark Tree
  • bunga boleh digunakan dalam bunga rampai
  • bunga mengandungi minyak pati digunakan dalam ramuan minyak wangi
  • mempunyai buah yang berwarna merah apabila masak
  • boleh ditanam dengan menggunakan biji, keratan dahan atau tut


Akar Dani ( Quisqualis indica L. )
  • juga dikenali sebagai Ceguk, Rangoon creeper dan Drunken Sailor
  • tumbuhan herba renek memanjat , sesuai ditanam di pergola
  • jambak bunga berwarna putih kemudian bertukar kepada merah jambu dan merah
  • bunga berbau wangi terutamanya di waktu malam
  • boleh ditanam menggunakan keratan batang

Bunga melur ( Jasminum sp. )
  • Bunga putih, berbau harum
  • digunakan untuk hiasan sanggul dan bunga rampai
  • mengeluarkan minyak pati , digunakan dalam ramuan minyak wangi
  • boleh ditanam menggunakan keratan batang atau tut


Selain dari warna bunga yang berwarna-warni , bau bunga yang semerbak harum di laman rumah juga merupakan terapi yang menenangkan jiwa. 

 


Friday, April 03, 2009

Pesta Flora Kelantan 2009


Pesta Flora Kelantan 2009 ,yang diadakan bersempena sambutan Hari Keputeraan DYMM Sultan Kelantan, berlangsung dari 31 Mac hingga 11 April 2009 di Taman Orkid Tengku Anis, Pengkalan Chepa.

Acara-acara yang menarik di Pesta ini, di antaranya ialah

Perarakan Kereta Berhias

Pertandingan Landskap

Pertandingan Orkid

Pertandingan Kaktus

Pertandingan Bunga Ros

Topiari

Bonsai


Juga terdapat Pertandingan Gubahan bunga, Gerai Tanaman Hiasan, Tanaman Buah-buahan dan Tumbuhan Ubatan, Gerai Hasil Kraftangan, produk makanan industri kampung bagi setiap daerah di Kelantan dan lain-lain lagi. Kunjungilah Kelantan untuk Pesta Flora 2010 !