nuffnang ad

Monday, December 08, 2008

Tragedi Bukit Antarabangsa

Setelah hampir 15 tahun kita dikejutkan dengan tragedi Highland Towers, pada awal pagi 6 Disember 2008 satu lagi tragedi yang hampir sama berlaku di Bukit Antarabangsa. Kejadian tanah runtuh yang menimpa dan meranapkan 14 bungalo Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama telah meragut 4 nyawa.

Pembinaan bangunan di lereng bukit dan pembangunan yang tidak terkawal di kawasan tadahan air dilihat sebagai faktor utama dalam kejadian tersebut. Apabila pembangunan dijalankan di kawasan tersebut tumbuhan asal yang hidup di situ akan ditebang, puncak bukit diratakan dan bertan-tan konkrit akan membebani lereng-lerengnya.

Tumbuhan yang hidup di kawasan berbukit mempunyai akar yang mencengkam dan memegang butir-butir tanah. Dedaunnya yang gugur membentuk lapisan berhumus dan mencegah air dari menghanyutkan butir-butir tanah. Kanopinya memayungi dan mengurangkan kelajuan air hujan menghentam Bumi. Sebahagian air hujan tadi diserap oleh akar untuk digunakan oleh tumbuhan dan dibebaskan sebagai wap air melalui daun. Sebahagian air akan 'ditadah' oleh kawasan itu untuk kegunaan manusia. Hebatnya peranan tumbuhan!!

Jika tumbuhan ditebang untuk pembangunan, tanah di kawasan itu akan terdedah kepada hakisan tanah. Penyerapan air ke dalam tanah secara berlebihan tanpa dikembalikan ke udara melalui transpirasi oleh tumbuhan. Butir-butir tanah dihanyutkan air tanpa halangan. Sumber air untuk kegunaan kita juga berkelodak. Salah siapa? Siapa yang untung, siapa yang rugi ? Fikir-fikirkanlah !!!!

Thursday, December 04, 2008

Halia ( Gingers ) - Zingiber spp.

Semalam anak saudaraku Afiq menunjukkan sejenis tumbuhan di tepi jalan di hadapan rumahnya, katanya pokok tu ada beberapa tangkai buah. Nampak seperti buah tetapi sebenarnya itu ialah jambak bunga sejenis halia, tetapi bukan spesies halia yang kita guna dalam masakan. Halia yang kita guna untuk masak-memasak tu nama saintifiknya Zingiber officinale. Setelah merujuk buku, Gingers of Peninsular Malaysia and Singapore, ditulis oleh K. Larsen, H. Ibrahim, S. H. Khaw and L. G. Saw ( 1999) , mungkin spesies halia yang anak saudaraku tunjuk itu ialah Zingiber ottensii. Nama tempatannya tidakku jumpa.. Mungkin ada di antara kita yang menggunakan halia untuk masak-memasak tetapi tak pernah melihat pokoknya, bunganya jauh sekali... Suatu hari nanti mungkin generasi akan datang hanya melihatnya di dalam buku , ensaiklopedia atau wikipedia. Sesekali lihat-lihatlah tumbuhan di sekeliling anda.

Wednesday, December 03, 2008

Keladi - Caladium spp.

Keladi ialah antara tumbuhan hiasan yang digemari ramai. Tumbuhan dari famili aroid ini ditanam kerana kecantikan daunnya, bukan kerana bunganya. Pelbagai warna, corak dan bentuk daunnya menjadi tarikan utama bagi peminat untuk mengumpul koleksi keladi di halaman rumah. Daunnya mempunyai ciri kalis air, yang membuatkan titis embun pagi kelihatan seperti permata berkilauan di atasnya. Keladi sesuai ditanam di tempat teduh serta lembap.Tanah yang digunakan untuk menanam keladi mestilah tidak menakung air dan kaya dengan humus. Tumbuhan ini sesuai dijadikan tanaman pasuan dan diletakkan di balkoni rumah. Ia juga boleh dijadikan tanaman hiasan di dalam rumah, tetapi hendaklah dialihkan sekali-sekala ke luar rumah supaya pertumbuhannya tidak terbantut. Selain dari ditanam sebagai tanaman hiasan, spesies keladi tertentu juga ditanam kerana ubinya boleh digoreng atau dibuat pengat dan batangnya juga boleh dimasak sebagai sayur.

Friday, November 28, 2008

Pahala ibadat sedekah


Daripada Anas ra. katanya : Rasulullah SAW bersabda katanya :

" Tiada seorang Muslim yang bercucuk tanam sebarang pokok ( tanaman ) lalu dimakan hasil dan buahnya oleh manusia, burung atau binatang melainkan dapat baginya pahala sedekah "
( Riwayat Bukhari & Muslim )

Huraian :

Sebarang amal kebajikan yang dilakukan untuk kebaikan umum itu oleh setiap Muslim akan diberi ganjaran pahala sedekah termasuk kerja bercucuk tanam yang akan dapat diambil faedah daripadanya oleh sesiapa sahaja, manusia, burung atau binatang dan sebagainya. Segala usaha ini dinilai oleh agama dan akan diberikan ganjaran pahala sedekah. Demikianlah luasnya amal kebajikan di sisi Allah SWT.

Petikan dari ruangan Sabda Rasulullah SAW,
Mingguan Malaysia ( 10 Ogos 2008 )

Bercakap dengan pokok bunga ?


Ada sesetengah pendapat mengatakan jika anda bercakap dengan pokok bunga, ia akan lebih cepat berbunga atau pokok tanaman akan lebih cepat berbuah. Apa pendapat anda? Dengan berbicara atau meluahkan perasaan disamping pokok tanaman anda, mungkin ini memberi kesan yang baik kepada anda. Ini merupakan satu cara meredakan tekanan ( stress ) yang anda alami semasa anda bekerja atau selepas melalui kesesakan lalu-lintas semasa pulang dari pejabat.

Udara hembusan yang anda bebaskan mengandungi gas karbon dioksida, unsur penting yang digunakan oleh tumbuhan untuk membuat makanan. Makanan ( glukosa ) yang terhasil dari proses fotosintesis ini digunakan oleh tumbuhan untuk membentuk sel-sel baru dan pembentukan bunga dan buah. Anda mungkin membantu tumbuhan anda dalam proses ini. Hasil sampingan dari proses fotosintesis ialah gas oksigen yang amat penting dalam kehidupan manusia. Anda dan tumbuh-tumbuhan saling memerlukan!!!

Flora


Tumbuhan hijau ialah pengeluar dalam rantai makanan dan siratan makanan. Ia merupakan sumber makanan bagi manusia, haiwan dan organisma-organisma lain, sumber gas oksigen dan pengitar gas karbon dioksida yang efisien. Hijaukan halaman rumah anda, kekalkan kehijauan persekitaran kota raya dan selamatkan bumi kita dari pencemaran ! Anda mampu mengubahnya !!