nuffnang ad

Friday, December 17, 2010

Cantuman Pucuk

Cantuman pucuk sesuai dilakukan untuk mencantumkan pucuk-pucuk dari spesies-spesies tumbuhan yang berbeza tetapi dari genus yang sama. Contohnya , kita boleh mencantumkan pucuk dari beberapa spesies bunga raya yang berbeza pada satu pokok bunga raya. Ini sesuai jika anda tidak mempunyai halaman rumah yang luas tetapi ingin melihat berbagai jenis bunga raya. Tentunya menarik jika terdapat bunga-bunga yang berbagai warna pada satu pokok.

Langkah pertama, dapatkan potongan bahagian pucuk pokok yang hendak dicantumkan. Masukkan hujung pucuk tadi ke dalam segelas air untuk mengelakkan pucuk layu sebelum langkah seterusnya.


Pilih pucuk yang sesuai untuk dicantumkan pada pokok penanti. Potong pucuk pada pokok penanti yang mempunyai diameter/ ukuran yang sama dengan pucuk yang akan dicantumkan.


Belah ranting pucuk tadi sepanjang 2 cm seperti ditunjukkan dalam gambar.

Buang daun-daun pada pucuk yang hendak dicantumkan, tinggalkan 2 atau 3 daun pucuk yang paling kecil sahaja. Hiris bahagian hujung pangkal pucuk ini membentuk seperti baji.


Masukkan hujung yang berbentuk baji ini di antara celah ranting pucuk yang dibelah tadi.


Ikatkan cantuman pucuk ini dengan kepingan plastik ( gunting mana-mana plastik gula atau apa-apa kepingan plastik, jimat kos :) )


Akhir sekali ambil satu plastik , sungkupkan pucuk yang telah dicantumkan tadi dan ikat di bahagian bawah. Ini untuk mengelakkan kehilangan air yang banyak dari cantuman pokok dan menyebabkannya kering dan mati.


Jika cantuman ini berjaya , anda akan dapat melihat titisan-titisan air yang dibebaskan oleh pucuk yang baru dicantum, di bahagian dalam plastik. Selepas seminggu buang sungkupan plastik luar dan buang ikatan plastik pada cantuman.

Cantuman pucuk ini juga sesuai dilakukan pada pokok bunga kertas. Selamat mencuba. :)

Saturday, October 23, 2010

Bunga dalam Lagu



Di antara bunga-bunga yang telah menjadi ilham penulis lirik lagu :

Bunga Tanjung ( Mimusops elengi )

Bunga tanjung putih berseri
Kembang jelita harum baunya
Gagah sungguh pohonmu berdiri
Tegap rimbun gagah perkasa

Harum jelita si bunga suci
Idaman dara gadis rupawan
Sangat sombongnya bungamu menari
Melenggang-lenggok dihujung dahan

Walaupun engkau si bunga tanjung
Hiasan sanggul gadis rupawan
Tiadalah kamu sangat beruntung

Bagai melati
Bagai melati dilembah sana
Lihatlah senyuman kembang melati
Disunting kelana hati...
Di lembah sunyi

Lihatlah pula bunga teratai
Dijunjung musafir lambai melambai

Sungguh nasibmu si bunga tanjung
Bagai cahaya ditutup mendung
Tiadalah tangan menyunting kamu
Menunggu gugur di angin lalu
Malang dudukmu di dahan tinggi
Kini bertabur di atas bumi


Nyanyian : Sharifah Aini


Bunga Melur ( Jasminum sp. )


Di hujung sana tempatmu, bunga melur
Bukan di taman yang indah, bunga melur
Hanya di sudut halaman
Tiada dihiasi jambangan indah permai

Tapi warnamu yang putih, bunga melur
Tandanya suci dan murni, bunga melur
Walaupun ditiup debu
Warnamu dan baumu tetap memikat kalbu

Ibarat gadis desa, bunga melur
Sederhana...
Walau kering tak bercahaya, bunga melur
Baumu memikat jiwa

Semoga sabar dahulu, bunga melur
Pada di satu ketika, bunga melur
Masanya kan menjelma
Disanjung dan dipuja
Oleh gadis remaja


Nyanyian : P. Ramlee


Seroja

Mari menyusun seroja
Bunga seroja ah... ah...
Hiasan sanggul remaja
Puteri remaja ah... ah...

Rupa yang elok
Di manja jangan dimanja ah... ah...
Puja lah ia sekadar
Oh sekadar saja

( korus )
Mengapa kau bermenung
Oh adik berhati binggung
Mengapa kau bermenung
Oh adik berhati binggung
Lupakan saja asmara
Pada asmara...
Lupakan saja asmara
Pada asmara...

Mari menyusun seroja
Bunga seroja ah... ah...
Hiasan sanggul remaja
Puteri remaja ah... ah...

Rupa yang elok
Di manja jangan dimanja ah... ah...
Puja lah ia sekadar
Oh sekadar saja

( ulang korus )


Nyanyian : S. Effendi, Jamal Abdillah, Al-Jawaher


Saturday, July 03, 2010

Cara untuk Tut Pokok ( Air Layering or Marcotting )



Pokok bunga jenis berkayu seperti kenanga dan cempaka serta pokok buah-buahan seperti limau, dokong dan jambu boleh dibiakkan dengan kaedah tut pada dahan matang pokok tersebut.

Di sini ditunjukkan cara-cara untuk Tut pokok bunga kenanga ( Canangium odorata atau Ylang-ylang ).


Sediakan satu gumpalan tanah kebun yang dilembabkan dengan air, satu keping plastik untuk membungkus dan dua utas tali rafia untuk mengikat.


Pilih dahan yang telah matang yang sesuai untuk ditut.


Buat dua gelangan pada dahan tersebut menggunakan pisau yang tajam dan bersih. Pastikan anda tidak membuat gelangan pada bahagian dahan yang mempunyai tunas. Buang kulit dahan di antara gelangan tadi. Kikis perlahan-lahan permukaan kayu di antara gelangan tadi untuk membuang sisa-sisa kulit dahan. Biarkan beberapa minit untuk mengeringkan permukaan kayu tadi.


Letakkan gumpalan tanah yang lembab pada dahan yang telah dibuang kulit luarnya dan bungkus tanah tadi mengelilinginya. Saiz gumpalan tanah bergantung kepada saiz dahan pokok. Balut plastik pembungkus pada dahan pokok dan ikat bahagian atas dan bawah gumpalan tanah tadi dengan tali rafia.


Gambar menunjukkan dahan pokok bunga kenanga yang sudah siap ditut.


Akar akan tumbuh dalam gumpalan tanah dalam masa 2-3 minggu atau 1-3 bulan bergantung kepada jenis pokok dan saiz pokok. Akar boleh dilihat atau dirasa dengan jari pada bungkusan plastik. Pastikan akar sudah banyak dan matang ( warna keperangan ) sebelum anda memotong anak pokok dari dahan pokok induk.

Anak pokok dipindahkan ke dalam polibeg dan letakkan ditempat teduh selama dua minggu. Buang daun-daun yang matang dan tua untuk membantu pokok memulakan pertumbuhan dengan akar yang baru. Pertumbuhan anak pokok yang baik boleh dilihat dengan penghasilan pucuk-pucuk yang baru. Selamat Mencuba. :) 

 

 

Friday, May 14, 2010

Pokok Angsana ( Pterocarpus indicus )


Pokok Angsana


Bunga Angsana, harum semerbak.....

Pokok Angsana juga dikenali sebagai pokok Sena, merupakan pokok yang biasa ditanam di taman-taman atau di tepi-tepi jalan. Bunganya berwarna kuning , berbau harum biasanya dicetuskan pembungaannya oleh perubahan suhu sekeliling.

Sunday, April 25, 2010

Pokok Semarak Api ( Delonix regia )




Pokok Semarak Api ( Delonix regia ) dijumpai oleh Bojer, ahli Botani Perancis pada tahun 1824 di Madagascar. Pokok ini juga dikenali sebagai 'Flame-of the-Forest', 'Red Flame' , Flamboyant atau Gul Mohur.


Pokok Semarak Api biasanya ditanam sebagai pokok hiasan taman atau pokok hiasan di tepi jalan. Pokok ini boleh mencapai ketinggian 10 meter atau lebih. Jambak bunganya berwarna merah terang bukan saja indah dipandang mata, ianya juga menarik perhatian burung-burung yang menghisap nektar .

Friday, April 16, 2010

Limau ( Citrus spp. )

Limau Kasturi ( Citrus microcarpa )
  • buah limau kasturi bersaiz kecil ( sebesar guli ) , pokok sederhana tinggi
  • buah biasanya digunakan untuk menghasilkan jus, dihiris dan dicampurkan dalam sambal atau dibuat acar dan jeruk.

Saturday, March 13, 2010

Terung Pipit ( Solanum tarvum )

Terung pipit juga dikenali sebagai terung manggul, terung rembang atau terung timbang. Nama biasa yang lain ialah Turkey berry, Devil's fig atau Pea Eggplant. Terung pipit dimakan sebagai ulam atau dimasak sebagai sayuran dalam masakan tempatan.


Bunga Terung Pipit


Buah Terung Pipit

Bunga Rampai


Bunga rampai menjadi penyeri yang mengharumkan suasana sambutan Maulidur Rasul. Untuk menghasilkan bunga rampai, daun pandan dihiris halus-halus dan dijemur sebentar untuk melayukan sedikit hirisan daun tadi. Bunga kertas dari berbagai warna juga dihiris halus-halus untuk menambahkan warna kepada bunga rampai. Bunga-bunga berbau wangi ( scented flower ) bunga melur, bunga kenanga , bunga kemuning dan bunga akar dani juga boleh dicampurkan bersama bunga rampai. Hirisan-hirisan tadi dimasukkan kedalam bekas dan ditambahkan sedikit minyak wangi atau minyak atar. Bekas tadi ditutup seketika supaya haruman minyak wangi tadi menyerap ke dalam bunga rampai.

Bunga rampai boleh diletakkan dalam berbagai jenis bentuk bekas atau bungkusan kecil untuk diberikan kepada tetamu yang hadir ke majlis anda.

Tuesday, February 23, 2010

Jambu Madu



Lima tahun lepas saya membeli anak pokok jambu madu dari sebuah nurseri yang berdekatan. Dua tahun lepas pokok jambu ni mula berbunga dan berbuah. Seronoknya.. Tapi, buah yang terhasil kecil-kecil dan belum sempat masak, buahnya mula jatuh berguguran. Macamana ni.. Selalu geram tengok buah jambu yang dijual di gerai-gerai buah yang merah,besar dan sedap rasanya.

Akhirnya saya mendapat satu cara untuk mendapat hasil buah jambu yang lebih baik. Selepas bunganya berkembang dan apabila putik buah sudah terbentuk , gunakan plastik ( yang biasa digunakan semasa membeli-belah ) bersaiz sederhana untuk membungkus putik buah tadi. Ikat tangkai plastik pada dahan berhampiran tangkai buah. Guntingkan sedikit di bahagian bawah plastik untuk mengelakkan air hujan yang masuk ke dalam plastik daripada bertakung.

Kaedah ini dapat menghasilkan buah jambu yang lebih besar saiznya, isinya lebih banyak kandungan air ( juicy ) ( bungkusan plastik tadi dapat mengurangkan kehilangan air dari buah) , rangup dan dapat mengelakkan dari serangan serangga perosak seperti lalat buah. Cubalah..! Jika anda ada cara-cara lain untuk mendapat hasil buah-buahan yang lebih baik, sila berkongsi dengan pembaca yang lain.